Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, September 23, 2010

Buku 1

Judul Buku : Collaborative Learning Techniques
Penulis Buku : Elizabeth F. Barkley, K. Patricia Cross, Claire Howell Major
Penerbit : Jossey-Bass. A Wiley Imprint
Tahun Penerbitan : 2005
Pengulas : Mohd Shohimi b Abdul Halim @ Muhamad

Sinopsis
Buku ini diterbitkan khas untuk warga fakulti-fakulti kolej dan universiti. Buku setebal 303 muka surat mengandungi tiga bahagian utama yang dibahagikan pula kepada bab-bab kecil yang membincangakan mengenai “Collaborative Learning Techniques (CoLTS)” secara lebih terperinci. Terdapat 30 jenis CoLTS yang dibincangkan. Antara bahagian-bahagian utama iaitu:
1)      Pengenalan;
2)      Melaksanakan Pembelajaran Kolaboratif; dan
3)      Teknik-Teknik Pembelajaran Kolaboratif.

Bahagian 1: Pengenalan
Bahagian pertama menerangkan maksud serta ciri-ciri Pembelajaran secara Kolaboratif. Menurut penulis, Pembelajaran Kolaboratif bermaksud pelajar bekerja berpasangan atau kumpulan kecil untuk mencapai tujuan belajar bersama. Bagi merungkai kekeliruan, penulis membincangkan perbezaan di antara Pembelajaran Kolaboratif dan Pembelajaran Koperatif. Perbincangan menjurus ke arah menentukan ciri-ciri kelompok pembelajaran berkesan. Penulis juga mengemukakan bukti tentang perlaksanaan Pembelajaran secara Kolaboratif boleh meningkatkan tahap pembelajaran serta kelebihan yang akan diperolehi oleh pelajar.

Bahagian 2: Melaksanakan Pembelajaran Kolaboratif
Bahagian kedua membincangkan secara terperinci bagaimana pelajar-pelajar diorientasikan untuk pembelajaran ini, cara-cara membentukkan kumpulan pembelajaran, bagaimana tugasan-tugasan pembelajaran di strukturkan, cara-cara fasilitator membantu kolaborasi pelajar-pelajar dan bagaimanakah penggredan dan penilaian Pembelajaran secara Kolaboratif di buat. 

Bahagian 3: Teknik-Teknik Pembelajaran Kolaboratif
Bahagian ketiga membincangkan mengenai teknik-teknik Pembelajaran secara Kolaboratif (CoLTS). Teknik-teknik tersebut dibahagikan kepada 5 kategori iaitu:
1)      Teknik untuk Perbincangan;
2)      Teknik untuk Pengajaran Timbal Balik;
3)      Teknik untuk Penyelesaian Masalah;
4)      Teknik untuk Pengurusan Maklumat Grafik; dan
5)      Teknik Pemfokusan untuk Penulisan.
Penulis membincangkan secara terperinci pendekatan teknik-teknik CoLTS mengikut kategori masing-masing.

Terdapat 6 jenis CoLTS dalam kategori Teknik untuk Perbincangan iaitu Think-Pair-Share, Round Robin, Buzz Groups, Talking Chips, Three-Step Interview dan Critical Debate. Penulis menyatakan pendekatan perbincangan amat popular kerana ia membantu pelajar belajar dalam pelbagai cara serta dapat menjana idea dan belajar untuk berkomunikasi dengan baik.

Terdapat 6 jenis CoLTS dalam kategori Teknik untuk Pengajaran Timbal Balik iaitu Note-Taking Pairs, Learning Cell, Fishbowl, Role Play, Jigsaw dan Test-Taking Teams. Menurut penulis melalui pendekatan ini pelajar akan menjadi aktif serta berusaha memahami subjek yang dipelajari sebaik mungkin untuk membantu rakan-rakan. Ia juga dapat membantu pelajar mensintesis, mengklasifikasi dan menguji idea; dan pemahaman konsep.

Terdapat 6 jenis CoLTS dalam kategori Teknik untuk Penyelesaian Masalah iaitu Think-Aloud Pair Problem Solving TAPPS, Send-A-Problem, Case Study, Structured Problem Solving, Analytic Teams dan Group Investigation. Menurut penulis setiap guru sentiasa berusaha membangunkan kemampuan pelajar untuk menyelesaikan masalah. Melalui teknik ini pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan serta melatih pelajar menyahut cabaran berdasarkan tahap kepayahan masalah yang dikemukakan.

Terdapat 5 jenis CoLTS dalam kategori Teknik untuk Pengurusan Maklumat Grafik iaitu Affinity Grouping, Group Grid, Team Matrix, Sequence Chains dan Word Webs. Menurut penulis elemen grafik merupakan alat yang paling berkesan untuk menukar maklumat yang kompleks kepada paparan yang menarik. Alat pengurusan grafik juga fleksibel dan boleh digunakan dalam pelbagai tujuan.

Terdapat 7 jenis CoLTS dalam kategori Teknik Pemfokusan untuk Penulisan iaitu Dialogue Journals, Round Table,  Dyadic Essays, Peer Editing, Collaborative Writing, Team Anthologies dan Paper Seminar. Penulis menyatakan melalui penulisan ianya dapat membantu pelajar memahami tentang disiplin kandungan serta memperoleh kemahiran berfikir.

Nilai Pengetahuan / Pengajaran
Buku ini dapat memberikan banyak manfaat kepada guru, pensyarah dan para pendidik secara umum dalam mengaplikasikan teknik pengajaran dan pembelajaran dengan mengarahkan pelajar kepada pembelajaran yang aktif dengan kepelbagaian teknik pembelajaran.

Ini berdasarkan komen-komen dan pujian-pujian yang diberikan oleh beberapa individu seperti Pat Hutchings, Vice President, The Carneige Foundation for the Advancement of Teaching; Tom Angelo penulis bersama dengan K. Patricia Cross, Classroom Assesment Techniques; Barbara Gross Davis assistant vice provost for undergraduate education, University of California; Berkely and author, Tools for Teaching; Terry O’Banion, president emiritus and senior league fellow, League for Inovation in the Community College; and author of A Learning College for the 21st Century, dan Barbara Leigh Smith, codirector of the Pew Charitable Trust’s National Learning Communities : Reforming Undergraduate Education.

Secara umumnya buku ini wajar dimiliki oleh para pendidik dalam mempertingkat kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian CoLTS diterangkan secara terperinci beserta contoh-contoh yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran. Penggunaan bahasa juga adalah mudah difahami. Teknik-teknik CoLTS yang diberikan boleh digunakan sebagai teknik-teknik pengajaran tambahan kepada teknik-teknik pengajaran sedia ada. Dengan itu para pendidik sentiasa berada di hadapan dalam memajukan bidang pendidikan dan anak didik.

Thursday, August 5, 2010

Pentaksiran-Pengujian-Pengukuran-Penilaian

Pentaksiran:
Pentaksiran adalah proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

Pengujian:
Pengujian melibatkan proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori (Cronbach, 1970).

Pengukuran:
Pengukuran adalah proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kuantitatif bagi sesuatu ujian pembelajaran dan di nyatakan dalam unit pernomboran atau peratusan atau gred.

Penilaian:
Penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai (Gay, 1985). Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.